Something interesting...

904058 AHMAD SABRI BIN MOHAMAD
REFLECTION PAPER
EXPLORING DUAL LANGUAGE PROGRAM (DLP) SCIENCE TEACHERS’ PERSPECTIVE AND EXPERIENCES OF CURRICULUM CHANGE


Pada tahun 1992, saya telah menerima dua tawaran tajaan biasiswa penuh daripada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dalam Bahasa Inggeris (TESL) atau Bahasa Arab. Tawaran biasiswa Bahasa Inggeris melibatkan dua tahun pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Tempatan dan empat tahun pengajian di Universiti Luar Negeri sama ada di Australia atau United Kingdom. Manakala tawaran biasiswa penuh Bahasa Arab pula melibatkan tiga bulan persediaan di Malaysia dan empat tahun pengajian ijazah di Jordan. Para penemuramah memaksa saya untuk membuat pilihan serta merta kerana mereka menyatakan bahawa hanya satu tawaran akan dipertimbangkan dan saya tidak akan ditawarkan untuk kedua-dua program Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Selepas berfikir sejenak, saya menjawab bahawa saya memilih Bahasa Arab dengan alasan yang menyatakan bahawa walau di mana sekalipun saya berada Bahasa Inggeris akan tetap bersama-sama saya namun jika saya tinggalkan Bahasa Arab maka ia akan hilang selama-lamanya. 25 tahun selepas itu, Bahasa Inggeris masih memandu saya ke arah kemajuan kerjaya dan keupayaan memperkembangkan ilmu saya secara individu serta dapat memberi manfaat kepada semua yang berada di sekeliling saya. Saya percaya bahawa bahasa adalah alat pehubungan. Keupayaan dalam menguasai dua atau tiga bahasa akan memudahkan kita untuk membuka pintu-pintu ilmu yang lain.

Saya percaya bahawa program dwi bahasa atau Dual Language Programme (DLP) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menggantikan Polisi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah langkah terbaik untuk menyediakan anak-anak saya dan generasi akan datang bagi menghadapi cabaran globalisasi keterbukaan ilmu serta revolusi industri 4.0. Keupayaan generasi muda menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tidaklah mengurangkan identiti mereka sebagai rakyat atau bangsa Malaysia, tidak kurangkan kemelayuan, kecinaan atau lain-lain bangsa di Malaysia (Milligan & Tikly, 2016). Malah membuktikan bahawa seseorang individu boleh kuasai lebih daripada satu bahasa dalam kehidupannya. Penguasaan dua atau lebih bahasa akan memberikan kelebihan kepada generasi akan datang untuk terus berbakti kepada negara. Kelebihan menguasai Bahasa Inggeris telah menjangkaui lebih daripada sempadan negara kerana Bahasa Inggeris adalah bahasa yang paling banyak dipertuturkan di seluruh dunia.

Saya bersetuju dengan kajian yang dibuat dengan tujuan mengupas persepsi serta pengalaman guru-guru DLP di Malaysia berkaitan perubahan kurikulum. Saya amat bersetuju dengan pengkaji yang telah memperkenalkan kaedah Content and Language Integration Learning (CLIL) yang menyatakan bahawa CLIL bukanlah penekanan kepada pembelajaran Bahasa Inggeris semata-mata tetapi merujuk kepada Bahasa Inggeris sebagai satu medium atau alat untuk memperoleh ilmu (Yassin, Ong, Alimon, Baharom & Lai, 2010). Ia bukan berbentuk tradisi yang mempelajari Bahasa semata-mata untuk bahasa tetapi mempelajari kandungan mata pelajaran lain menerusi Bahasa Inggeris. Di samping penguasaan kandungan mata pelajaran, pada masa yang sama Bahasa Inggeris juga dapat diperkasakan secara tidak langsung. Semua proses ini membolehkan pembelajaran kandungan dan pembelajaran bahasa dapat berlaku dengan cara yang kurang menggerunkan. CLIL ini bukan sahaja dapat mempersembahkan kandungan mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris tetapi interaksi murid dan guru yang menggunakan bahasa telah melangkaui kemahiran berfikir aras tinggi Taksonomi Bloom daripada yang paling rendah kepada yang paling  tinggi. Jika sebelum ini bahasa atau perbendaharaan bahasa dihafal untuk memenuhi keperluan aras rendah iaitu mengingati dan memahami, namun perbincangan dalam dwi bahasa telah melonjakkan pemikiran serta penggunaan bahasa sehingga ke aras sintesis malah merekacipta. Kajian berkaitan CLIL oleh McDougald (2015) telah membuktikan bahawa penggunaan bahasa untuk memperoleh ilmu telah memberi manfaat kepada murid untuk belajar dan berkembang.

Perkembangan dan kepesatan teknologi seperti internet, kecanggihan perkakasan dan runtuhnya sempadan telah membuka ruang kepada anak-anak saya untuk menguasai Bahasa Inggeris. Kandungan internet yang banyak terdapat dalam Bahasa Inggeris seperti video youtube dan permainan atas talian telah mebolehkan anak-anak berinteraksi dengan rakan-rakan yang bukan dari Malaysia sahaja. Peluang ini sememangnya amat berguna malah telah dimanfaatkan oleh guru yang meminta agar murid mencari dan membina bahan sendiri daripada internet. Di samping membantu dalam pembelajaran anak-anak, guru juga dapat merangka pengajaran mereka berasaskan kemudahan sedia ada ini. Google Classroom yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menggantikan aplikasi Frog VLE telah membuka ruang seluas-luasnya kepada guru dan murid untuk meneroka dan mempelbagaikan cara penyampaian dan penerimaan ilmu serta kemahiran.

Pendapat yang menyatakan bahawa DLP atau apa-apa program baharu akan memberikan impak negatif dari segi masa dan pertambahan beban kepada guru adalah sememangnya mitos yang nyata. Perubahan kurikulum dan pengaplikasian teknik PAK-21, pembelajaran berpusatkan murid, pentaksiran bilik darjah dan penggunaan teknologi secara optimum akan memudahkan guru, menjimatkan masa dan meringankan beban. Murid boeh mendapatkan aklumat secara bertulis atau secara atas talian. Penggunaan Google Classroom serta kaedah flipped classroom adalan antara cara yang memberi manfaat kepada guru dan murid. Perkara ini diakui oleh Cikgu Rofina yang mengatakan bahawa murid boleh mendapatkan maklumat secara sendiri dan tidak mengharapkan kepada buku teks dan persediaan guru semata-mata. Saya juga bersetuju dengan Cikgu Nadia yang menyatakan bahawa dalam era globalisasi ini, guru akan dapat memberikan ilmu secara semula jadi mengikut aras kemampuan murid dan murid pula dapat memperoleh dan menguasai maklumat secara kendiri.

Untuk menyampaikan ilmu secara tradisional iaitu dengan kaedah mengajar atau berpusatkan guru dan berpusatkan bahan berbanding berpusatkan murid, guru perlu terlalu berhati-hati dalam menyampaikan maklumat. Dalam keadaan tradisional ini, murid akan bergantung penuh kepada guru. Tetapi jika guru berperanan sebagai fasilitator atau rakan pembelajaran atau co-learners, maka guru juga akan dapat menambah pengetahuan murid dengan baik. Guru boleh meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada murid serta memberikan ruang yang mencukupi agar murid dapat merekacipta dan hadir dengan idea tersendiri. Cikgu Halim menguatkan pandangan ini apabila guru menggunakan kepakaran untuk membolehkan murid mengambil bahagian yang aktif dalam pembelajaran berbanding memberikan ilmu dan meletakkan aras pemkiran murid pada tahap rendah untuk menghafal semata-mata. Saya juga amat setuju dengan Cikgu Saliha yang mengatakan bahawa apabila guru bertindak sebagai co-learners kepada murid, maka guru dapat melihat ilmu melalui kaca mata murid. Ini membolehkan murid belajar berbanding menerima semata-mata. Cikgu Sofina berkata melalui program DLP ini, murid mengambil langkah lebih proaktif untuk memandu apa yang mereka ingin belajar atau take greater charge of driving their learning. Cikgu Yusuf pula menyatakan bahawa dalam pembelajaran mata pelajaran Sains, murid lebih mengetahui tentang tubuh mereka. Mereka akan lebih bertanggungjawab dalam belajar dan memilih proses pembelajaran yang mereka kehendaki.

Pertambahan beban tugas sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada apa-apa tugas sekalipun. Dalam perubahan kurikulum DLP ini, guru akan mengambil masa untuk merancang pebelajaran yang berkesan. Namun, ada yang menyatakan bahawa DLP telah membuatkan guru lebih focus. Saya berpendapat bahawa beban ini mungkin berlaku pada awalnya sahaja. Selepas momentum dicapai, sememangnya yang susah akan menjadi mudah. Apabila seseorang guru dapat menguruskan masanya dengan, dapat menguasai terma Bahasa Inggeris yang lazim digunakan serta dapat kuasai kandungan mata pelajaran Sains dengan baik, maka guru-guru ini akan lebih cekap dan berfokus.

Bantuan komuniti, rakan elit dan ibu bapa yang memahami akan menjamin keberkesanan dan kejayaan DLP. Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri telah menyediakan kepakaran dalam bentuk Rakan Elit, SISC+ dan Master Trainer PAK-21 serta banyak lagi untuk membantu memperluaskan kepakaran dan mengoptimumkan sumber. Peranan organisi pembantu yang sebelum ini lebih kepada mengenal pasti isu, masalah serta teguran konstruktif, telah berubah kepada fungsi bimbingan dan pementoran. Banyak meransang penyelesaian dan mencadangkan intervensi berbanding menyenaraikan isu.

Saya yakin program DLP ini akan berjaya dan memberikan manfaat terbaik kepada semua. Ia bukan diwajibkan kepada semua seperti PPSMI, tetapi bergantung kepada permintaan komuniti dan ibu bapa, kesediaan dan kemampuan infrastruktur, latihan tenaga pengajar yang mencukupi serta kepelbagaian sumber yang boleh digunakan. Guru-guru perlu bersedia untuk bertugas sebagai rakan murid atau co-learners kepada anak-anak kita berbanding menjadi pemberi ilmu semata-mata. Autonomi diberikan kepada murid untuk berkembang dan merekacipta sesuatu yang baharu hasil daripada perkongsian dengan guru-guru yang berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi. Ekoran itu, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui bahagian-bahagian yang bertanggungjawab perlu menyambut  hasrat ini dengan baik. Bahagian Pendidikan Guru perlu menyediakan latihan dan kemahiran agar semua keluaran Institusi Pendidikan Guru dapat memahami perubahan kurikulum atau peranan guru sebagai co-learners ini. Bahagian Pembangunan Kurikulum wajib mengambil kira semua aspek pembinaan Kurikulum yang sesuai yang mana pada akhirnya dapat melahirkan anak-anak yang lengkap dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek ini. Jati diri guru juga perlu diasuh agar kemampuan efikasi kendiri mereka terus cemerlang. Guru-guru berupaya memajukan diri dan dapat belajar sendiri.
Rujukan
Chan, S. H., & Ain Nadzimah Abdullah, (2015). Bilingualism in Malaysia: Language education policy and local needs. Pertanika Journal of Social Sciences and Humanities, 23(3), 55-70.

McDougald, J. (2015). Teachers' attitudes, perceptions and experiences in CLIL: A look at content and language. Colombian Applied Linguistics Journal, 17(1), 25-41. 

Milligan, L. O., & Tikly, L. (2016). English as a medium of instruction in postcolonial contexts: Moving the debate forward.

Unting, J. G., & Yamat, H. (2017). Dual language Programme (DLP): Teachers’ voice. In Proceedings of 73rd ISERD international conference (pp. 20-24).

Sopia Md Yassin, Ong Eng Tek, Hashimah Alimon, Sadiah Baharom, & Lai Ying Ying, (2010). Teaching science through English: Engaging pupils cognitively. International CLIL research journal, 1(3), 46-59.

Comments