Saturday, 13 August 2011

Lembu Dan Talinya

Assalamualaikum,

Rakan-rakan.

Lembu, jika tidak ditebuk hidungnya, jika tidak DIIKAT dengan tali, jika tidak ditambat, dia akan bebas merayau. Tidak mustahil juga, dia akan jatuh ke dalam perigi. Tidak mustahil pula dia akan disambar lori atau bas di perjalanan.

Topi keledar, jika tidak DIIKAT dengan dengan kemas. Seperti iklan di kaca tv, pasti akan pecah kepala pemakainya.

Tali pinggang keledar, jika tidak dipakai, jika tidak disemat tidak DIIKAT dengan kemas, mungkin tidak akan menjejaskan pemanduan. TETAPI jika ditakdirkan Allah SWT kita bertemu kemalangan sepertimana yang menimpa 8 rakan kita di Melbourne baru-baru ini, pasti ada yang patah tulang kolar, patah spine, remuk dan retak tulang leher.

Di Australia dan negara-negara maju yang lain,kita lihat sistem dan peraturan yang ketat menyebabkan masyarakatnya BAIK dan taat serta patuh. Mereka membenarkan diri mereka DIIKAT dengan sistem dan peraturan tadi. Namun, cuba kita lihat di London sekarang. Apabila mereka memilih untuk tidak mengikat diri mereka dengan peraturan-peraturan ini, masyarakat akan huru hara. Berlaku rusuhan di sana-sini. Merebak dari satu kota ke satu kota.

Rakan-rakan sekalian,
Sempena Ramadan yang mulia, tepuklah dada dan tanyalah iman.
1. Kita yang berpuasa, sebaik kita pulang dari kuliah, pulang dari pejabat. Kita dapati makanan dari sahur masih terhidang di atas meja. Kenapakah kita tidak menjamah, makan dan kenyang daripadanya?
2. Anak-anak sekalian. Kita yang berpuasa, sebaik kita pulang dari sekolah. Kita tahu di dalam peti ais ada air dan ais krim. Kenapakah kita tidak menjamah, makan dan hilangkan haus dahaga daripadanya?
3. Rakan-rakan sekalian. Kita yang diamanahkan wang berjuta. Kita mendapat akses kepada keputusan kewangan. Kuasa membeli dan menyeleweng di tangan kita. Kenapa kita jalankan tugas dengan integriti dan amanah, saksama dan adil?

Jawapan bagi 3 soalan tadi adalah mudah. IKATAN IMAN DAN AKIDAH. Kita memilih untuk membenarkan diri kita DIIKAT dengan Iman dan Akidah.

Sesungguhnya Ikatan Iman dan Akidah adalah ikatan yang 'invisible' yang ada pada setiap muslim. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa suburkan ikatan ini. Benarkan diri kita untuk suburkan ikatan ini dengan sentiasa siramnya dengan majlis-majlis ilmu. Sentiasa bajakan ia dengan mendampingi para ulama'dan ilmuan. Sentiasa racunkan ikatan ini daripada makhluk perosak yang berbentuk hasad dengki, sangka buruk, riak dan takbur.

Wallahu A'lam...

No comments: